Tuesday, November 1, 2011

JIKA AKU BUKAN PELAJAR UITM


                        Dunia tidak pernah sempurna jikalau manusia tidak lekang dari melakukan pelbagai pekerjaan. Tidak kira sejak lahir di dunia sebagai bayi sehingga hilang di buka bumi ini. Wang ringgit merupakan perkara pertama yang akan dicari oleh manusia. Manusia yang tidak mempunyai wang ringgit, status mahupun pangkat hanya akan dipandang hina oleh masyarakat.
Tambahan pula di zaman yang penuh pancaroba dan dihiasi dengan teknologi yang boleh dikatakan menjangkaui pemikiran cetek manusia ini sebenarnya membuatkan manusia menjadi semakin rakus dan ingin hidup di dalam kekayaan serta memperoleh semua yang diingini. Kita sendiri sudah mampu untuk mencipta roket untuk sampai ke bulan, bom atom untuk memusnahkan sebuah negara atau mungkin ada yang mengatakan yang dirinya lebih berkuasa dari tuhan. Bermula dari zaman kanak-kanak sehingga ke dewasa kita telah disuntik dengan pelbagai perkara dan salah satu daripadanya adalah teknologi manakala perkara tradisional semakin dilupakan. Hidup dijadikan sebuah permainan dimana yang berkuasa akan terus meluaskan empayar manakala yang tiada apa-apa akan terus ditindas serta dipandang sebagai seorang yang hina dan tiada masa depan.
Aku juga merupakan seorang insan yang lahir di zaman era permodenan ini penuh dengan teknologi, bebas dari zaman peperangan, hidup di dalam keadaan harmoni dan cuba untuk mengubah nasib keluarga. Seorang pelajar UITM yang menuntut ilmu demi untuk menjadi manusia berguna pada masa hadapan.
Namun begitu, jika aku bukan seorang pelajar UITM aku mungkin akan menjadi seorang pemain bola sepak. Sejak dari bangku sekolah lagi aku sudah bergiat aktif di dalam bidang sukan ini. Di zaman sekolah aku telah mewakili negeri bawah 18 dan ia merupakan satu pengalaman indah buatku. Namun begitu, pada zaman itu prestasi bola sepak negara kita masih diambang kemerosotan. Atas desakan ibu bapa, aku terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan hajat itu. Tetapi jika diberi peluang kedua sudah semestinya untuk mewakili tanah air untuk menjadi pemain bola sepak profesional sehingga mencapai ke peringkat antarabangsa. Walaupun posisiku hanya sebagai seorang penjaga gol dan hanya dipandang remeh oleh sesetengah masyarakat namun begitu tanpa kami, sebuah pasukan tidak akan memenangi satu perlawanan diatas ketangkasan kami dalam mempertahankan gawang dari dibolosi pihak lawan. Untuk menjadi yang terbaik, aku tidak pernah berputus asa untuk berlatih bersungguh-sungguh sehingga mencapai impianku. Tambahan pula, bersukan mampu menyihatkan tubuh badan dan aku sentiasa ingin mengekalkan stamina aku hingga tiada batasan. Walaupun bertubuh besar, aku sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat. Bagiku, makanan adalah satu sumber tenaga dan tidak perlu untukku kawal asalkan ia setimpal dengan aktiviti sukan harianku.
Generasi muda sekarang tidak pernah lekang dari kelekaan dan kecuaian yang mereka pilih sendiri. Sama sepertiku yang mungkin sepatutnya mengikut trend mereka jika tidak memilih jalan yang yang betul. “Mat Rempit”, sampah masyarakat dan sebagainya yang akanku ikuti. Pergaulan yang tidak sihat bersama rakan sebaya serta tindak tandukku yang tidak dikawal oleh ibu bapaku mungkin akan mnyebabkan aku turut terjebak dengan perkara-perkara yang dilaknat tuhan seperti berjudi, menghisap dadah, berzina, dan sebagainya.
Akan tetapi, jika ada masa lain, aku mungkin bekerja di hotel-hotel berhampiran rumahku dan hidup sederhana bersama keluargaku ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang atau mungkin juga bekerja di kedai-kedai makan, tukang baiki motor atau apa sahaja yang boleh menyara hidupku.
Namun begitu, aku sebagai anak sulung di dalam keluargaku haruslah menunjukkan semangat positif terhadap adik-adikku. Pendidikan adalah perkara yang penting bukan sahaja untuk menimba ilmu bahkan juga untuk Berjaya di masa hadapan. Bukan sahaja untuk membuktikan kepada semua orang tetapi juga untuk diri sendiri. Tidak semestinya masuk universiti sudah memastikan bahawa kita akan hidup senang, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan serta kursus-kursus  untuk semua golongan yang tidak mahir secara teori tetapi cekap di dalam bidang kemahiran. Pendirian hidupku bukan kerana sesiapa pun tetapi untuk menimba seberapa banyak ilmu yang bolehku perolehi serta menjadi seorang yang dapat berjasa bukan saja kepada diriku sendri tetapi untuk membalas jasa kedua orang tua ku yang tidak jemu-jemu untuk membesar serta tidak pernah berkata “tidak” jikalau anak-anak mereka ingin menimba ilmu setinggi mana selagi diingini walaupun aku dapat meneka bahawa mereka sentiasa dihimpit dengan masalah. Hanya setulus doa buat anak kepada kedua ibu bapaku supaya dimurahkan rezeki serta dipanjatkan usia supaya dapat melihat anak-anakmu ini berjaya didalam apa jua bidang yang kami ceburi.
Kehidupanku hanya kerana ibu bapaku…..

No comments:

Post a Comment